Selasa, 16 Ogos 2011

Cabaran terbesar Fabregas

BARCELONA - Cesc Fabregas mengakui, dia mengambil cabaran terbesar dalam karier bola sepaknya selepas melengkapkan perpindahan ke Barcelona malam kelmarin.

Bekas kapten Arsenal berusia 24 tahun itu berkata, bebanan cukup dirasainya selepas perbincangan panjang berhubung perpindahan itu berlarutan selama setahun.

"Memang terdapat hari- hari sukar yang perlu saya hadapi sebelum ini tetapi hari ini (kelmarin) saya berasa cukup lega apabila segala bebanan itu telah pun berakhir.

"Pada masa sama, ia bukanlah sesuat u yang menya kitkan. Saya tak pernah bimbang tentang masa depan kerana saya sendiri telah membuat keputusan ini," kata Fabregas yang dibeli Barcelona dengan harga 29 juta euro (RM124.3 juta) bagi kontrak selama lima tahun.

Bintang Sepanyol itu meninggalkan Barcelona lapan tahun lalu untuk menyertai Arsenal setelah dia mencapai kejayaan karier remajanya bersama-sama Lionel Messi di kelab Catalan itu.

Fabregas yang hanya berjaya menjulang satu trofi sepanjang bersama Arsenal iaitu kejuaraan Piala FA 2005 menambah, ini merupakan masa terbaik dalam kariernya untuk kembali beraksi bersama Barcelona.

"Dua atau tiga tahun lalu memang saya belum bersedia untuk kembali, tetapi hari ini saya sudah bersedia sepenuhnya.

"Saya turut menerima banyak tawaran dan tanpa ragu-ragu saya memilih untuk sesuatu yang sukar ini biarpun terdapat tawaran lain yang lebih memberi keselesaan kepada saya.

"Saya sedar ini cabaran terbesar dalam hidup saya untuk pergi bersaing dengan barisan pemain terbaik di dunia dan juga berdepan para penyokong Barcelona.

"Tapi saya kembali ke sini untuk memberikan segala-galanya. Saya tidak mahu mengecewakan sesiapa," jelas Fabregas.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Barcelona, Josep Maria Bartomeu menjelaskan bahawa yuran perpindahan tersebut disertai beberapa terma tambahan yang ditetapkan Arsenal.

"Jika kami menjuarai Liga Sepanyol sebanyak dua kali dan menjuarai Liga Juara-Juara sekali dalam tempoh lima musim ini, Arsenal akan menerima tambahan bonus berjumlah 5 juta euro (RM21.4 juta).

"Selain itu, untuk tempoh lima tahun ini juga, kelab akan membayar 1 juta euro (RM4.3 juta) kepada Arsenal bagi pihak Fabregas yang menerima potongan gaji untuk berhijrah ke Barcelona," kata Bartomeu. - AFP


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_08.htm


Tiada ulasan:

Catat Ulasan